ZIKIR DAN DOA SECARA BERJEMAAH DENGAN SUARA KUAT SELEPAS SOLAT DI SISI ULAMA MAZHAB SYAFIE
Asal dalam permasalahan zikir dan doa selepas menunaikan solat fardhu di sisi ulama mazhab Syafi‘e hendaklah dilakukan secara perlahan atau sirriyyah. Setiap individu sama ada imam atau makmum berzikir secara bersendirian. Tidak disyariatkan menjaharkannya melainkan dalam satu keadaan sahaja, iaitulah jika imam mahu memberi pengajaran kepada makmum. Inilah hasil kefahaman yang dapat disimpulkan dari teks-teks para ulama mazhab Syafi‘e yang tersebar secara meluas, yang menunjukkan zikir dan doa selepas solat fardhu itu secara sir dari dua hadis daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn al-Zubair RA, iaitulah:
Pertama: al-Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:
أنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النّاسُ مِن المَكْتُوبَةِ كانَ عَلى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ - ﷺ
maksudnya: “Bahawa meninggikan suara dengan zikir ketika orang ramai selesai menunaikan solat fardhu berlaku dahulu di zaman Rasulullah SAW.”
Kata beliau lagi:
كُنْتُ أعْلَمُ إذا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إذا سَمِعْتُهُ وفِي لَفْظٍ: ما كُنّا نَعْرِفُ انْقِضاءَ صَلاةِ رَسُولِ اللَّهِ - ﷺ - إلّا بِالتَّكْبِيرِ