} h3.post-title { text-align: center; } .post-title {text-align:center;} -->

HUKUM ORANG ISLAM MEMASUKI RUMAH IBADAH BUKAN ISLAM

KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 65 / 2023
16-17 OKTOBER 2023 / 1-2 RABIUL AKHIR 1445
Bil.3/65 Tahun 2023

HUKUM ORANG ISLAM MEMASUKI RUMAH IBADAH BUKAN ISLAM

Islam sebagai agama yang menganjurkan penganutnya untuk hidup berdampingan dengan penganut agama lain dengan tanpa meridhoi praktik syirik, kufur, dan maksiat. Terdapat perbedaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum bagi umat Islam yang memasuki rumah ibadah orang non-Muslim.

Pendapat Pertama (Haram)

Pendapat ini menyatakan bahwa hukumnya haram. Ini merupakan pendapat dari ulama Mazhab Hanafi dan al-Syafi'i. Namun, ulama Mazhab al-Syafi'i mengikat pengharaman tersebut dengan adanya patung di dalam rumah ibadah non-Muslim. Ulama Mazhab Hanafi mengharamkan secara mutlak dengan alasan bahwa rumah ibadah non-Muslim adalah tempat tinggal syaitan.

Pendapat Kedua (Makruh)

Pendapat ini menyatakan bahwa hukumnya makruh. Ini merupakan pendapat dari ulama Mazhab Hanbali. Namun, sebagian dari mereka juga mengikat hukum makruh tersebut dengan adanya patung dalam rumah ibadah tersebut.

Pendapat Ketiga (Boleh)

Pendapat ini menyatakan bahwa hukumnya boleh secara mutlak. Ini merupakan pendapat yang dipegang dalam Mazhab Hanbali, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mughni dan pendapat Ibn Hazm seperti yang dinyatakan dalam al-Muhalla.

Setelah meneliti pandangan-pandangan tersebut, Jawatankuasa Fatwa memutuskan hukum memasuki rumah ibadat agama lain adalah dibolehkan dengan syarat berikut:

  1. Tidak bertujuan mengagungkan, mengiktiraf, berbangga, bergembira atau menyertai unsur syirik, kufur atau maksiat yang ada di dalamnya.

  2. Tidak meredhai kekufuran dan maksiat yang dilihat kerana redha dengan kekufuran membawa kepada kufur dan redha dengan maksiat adalah dosa.

  3. Tidak dengan sengaja menyebabkan pihak lain melihat atau menganggap ia sebagai satu pengiktirafan atau pengagungan kepada ajaran yang salah dengan adanya unsur tasyabbuh atau boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap diri yang terlibat.

  4. Diizinkan oleh pemilik atau pihak agama tersebut dan bukan satu pencerobohan sedangkan semua pihak berada dalam keadaan aman dan harmoni.

Jika syarat-syarat ini tidak dipatuhi maka hukumnya adalah haram bahkan boleh membawa kepada syirik atau kufur. Bagi yang bimbang tidak dapat memenuhi syarat-syarat di atas hendaklah menjauhi daripada memasuki rumah ibadah bukan Islam.

Adapun jika memasuki rumah ibadah bukan Islam itu boleh membantu penganut agama lain memahami Islam, maka itu satu usaha dakwah yang digalakkan.

- Tamat –


Kehadiran Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:

Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim

Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari bin Mat

Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle

Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim

Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman

Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor

Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan

Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah

Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar

Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin

Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman Bin Mat Sin

Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha

DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 6 / 2023 pada 4 Disember 2023.


Sumber : https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/850-hukum-orang-islam-memasuki-rumah-ibadah-bukan-islam


  رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌۭ رَّحِيمٌ

Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

TRENDING